Assalamualaikum.
Persahabatan ialah istilah yang digunakan untuk menandakan tingkah laku kerjasama dan sikap tolong-menolong antara dua atau lebih orang. Ia berlaku antara orang-orang yang mempunyai kesamaan intelektual dan emosi. Nilai persahabatan biasanya berasal daripada seseorang individu yang menampilkan tingkah laku yang berikut secara tekal:
- kecenderungan untuk mengingini apa-apa yang terbaik bagi pihak yang lain;
- simpati dan empati;
- kejujuran, khususnya dari segi menegaskan kelemahan pihak yang lain; dan
- persefahaman.
Walaupun demikian, bagi banyak orang, persahabatan seringnya ditakrifkan secara negatif dari segi bahawa dia merupakan seorang yang tidak akan menjejaskan atau mengapa-apakan mereka.
Terdapat berbagai-bagai tahap "kerapatan" persahabatan yang menjangkau suatu spektrum lanjar. Oleh yang demikian, wujudnya sebilangan istilah bahasa basahan dalam bahasa Inggeris yang dipergunakan untuk memerihalkan persahabatan serta konteks yang persahabatan itu dipupuk:
- Fair-weather friend atau kawan cuaca baik: Seorang yang hanya akan membantu kawannya apabila perbantuan itu tidak susah.
- Casual relationship atau "hubungan seks rambang": Kawan yang mempunyai hubungan mesra dari segi seks tetapi tidak menganggap diri mereka sebagai mencuba memikat; juga dirujuk sebagai friends with benefits atau "kawan yang memberikan manfaat".
- Best friend atau "kawan karib": Kawan yang seseorang berasa paling rapat. Istilah ini biasanya membayangkan perasaan salingan antara satu sama lain, tetapi ini tidak selalu berlaku dan hubungan kawan karib merupakan sesuatu perkara yang sangat rumit.
- True friend atau "kawan benar": Orang yang sudi membantu kawan-kawannya yang menghadapi masalah emosi. Istilah ini juga menandakan sebahagian besar altruisme kerana seorang kawan benar seringnya akan mengorbankan masa atau sumber yang lain untuk membantu kawan mereka yang menghadapi kesusahan. Walaupun demikian, kawan benar seringnya jarang ditemui dan mereka tidak semestinya merupakan kawan karib anda tetapi seorang yang anda ketahui akan membantu anda apabila diperlukan.
Dalam urutan perkembangan emosi seseorang individu, persahabatan berlaku selepas perikatan ibu bapa dan sebelum perikatan pasangan yang berlaku pada masa kematangan. Dalam tempoh antara keakhiran masa kanak-kanak sehingga permulaan masa kedewasaan penuh, persahabatan seringnya merupakan hubungan yang paling penting dalam kehidupan emosi seseorang remaja dan seringnya adalah lebih mendalam, berbanding dengan hubungan yang berlaku kemudian.
Kajian persahabatan terangkum dalam bidang sosiologi, antropologi, falsafah, dan zoologi. Berbagai-bagai teori persahabatan telah dicadangkan, antaranya psikologi sosial, teori pertukaran sosial, teori ekuiti, dialektik hubungan, dan gaya perapatan. Menurut sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2006, bilangan dan mutu persahabatan orang Amerika telah merosot sejak selewat-lewatnya tahun 1985. Kajian itu menyatakan bahawa 25% daripada orang Amerika tidak mempunyai setiawan yang rapat, dengan bilangan setiawan seseorang pada puratanya kini merosot sehingga dua orang sahaja. Dua teori telah dikemukakan untuk menerangkan perkembangan ini:
- homofobia, iaitu kerisauan dilihatkan sebagai homoseksual; dan
- akibat dibesarkan dalam keluarga yang lebih kecil, keperluan untuk mengimbangi kehilangan hubungan adik-beradik secara tiba-tiba apabila meninggalkan keluarga untuk bekerja, belajar, dan sebagainya telah dikurangkan.
Persahabatan sebagai sejenis hubungan antara satu sama lain juga dapat ditemui antara binatang yang memiliki kecerdasan tinggi, misalnya mamalia pada peringkat yang lebih tinggi dan sebilangan burung. Persahabatan yang menjangkaui spesies sering juga ditemui antara manusia dengan binatang bela jinak. Yang lebih jarang ditemui tetapi patut diberikan perhatian ialah persahabatan antara binatang dengan binatang daripada spesies yang lain, misalnya anjing dengan kucing.
Dalam Islam, sahabat adalah seseorang yang membimbing rakan lain ke arah Islam yang sebenarnya. Kita ambil contoh seorang sahabat nabi iaitu Saidina Abu Bakr As-Siddiq.
Abu Bakar as-Siddiq (Arab: أبو بكر الصديق Abū Bakr al-Siddīq) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah.
Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w.berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.
Beliau mendapat gelaran as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra dan Mi'raj yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.
Kalau kita nak jadi kawan yang sejati, jadilah seperti Saidina Abu Bakr As-Siddiq yang sanggup berkorban demi Nabi dan Islam.
Semoga kita menjadi seorang insan yang berguna di dunia ini dan janganlah kita khianati kawan kita.
WASSALAM.
Semoga kita menjadi seorang insan yang berguna di dunia ini dan janganlah kita khianati kawan kita.
WASSALAM.
No comments:
Post a Comment